APRIL 2024

Syarikat Penerbangan Sendiri Mudahkan Tunai Haji, Umrah


KUCHING: Perancangan Sarawak untuk membangunkan syarikat penerbangan sendiri akan memudahkan umat Islam di negeri ini yang berhasrat menunaikan haji mahupun umrah di masa akan datang.

Pengerusi Pertubuhan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (SUHA) Ruzaiman Ghazalee berkata, dengan adanya syarikat penerbangan itu nanti bakal menyediakan penerbangan dari Kuching terus Jeddah, Mekah.

Ujarnya, memang hasrat SUHA dan bakal-bakal jemaah daripada Sarawak untuk mendapatkan penerbangan terus dari Kuching ke Jeddah dan perkara ini masih diusahakan.

"Kita berharap satu hari nanti perkara ini dapat direalisasikan supaya dapat memudahkan jemaah di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Sebelum itu, Premier menerima kunjungan hormat Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) bagi membincangkan hala tuju dan langkah-langkah baharu untuk mereka melaksanakan projek-projek pada masa akan datang. 

Pengerusi AZAM, Datu William Patrick Nyigor berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Premier terutamanya aspek pembangunan projek di masa hadapan.

Antaranya ialah menukar arah dan langkah untuk projek-projek yang akan dilaksanakan pada masa depan.